Assalamualaikum. Ada hari kita jemu makan nasi ye ke tidak ? Ada hari jemu terus nak makan tapi kena jugak makan walau sedikit. Asbab covid-19 ni salah satunya makin rajin masak dan mencuba resepi baharu walaupun selalunya saya derhaka dengan resepi2 online ni. Sebab nak sesuaikan dengan tekak sendiri.
Tertengok di instagram @raffieyusoff dia masak laksa sardin tin ni. mudah betul.tak payah rebus2 ikan. Kita sebagai manusia yang kerja memang suka benda yang mudah ni. Ala2 super laksa rasa dia. Kita suka makan dekat kedai tu sampailah dia tiba2 tutup hilang dan ghaib. kedai sedap je mesti tutup. benci.
Bahan-bahan yang diperlukan
Sardin tin, asingkan 1-2 ketul isi sardin dan blend yang lain. ( ambil bahagian isi sahaja, kuah tak nak )5 biji bawang merah kecil ( blend )
2 biji bawang putih ( blend )
2-3 keping nenas ( blend )
2 sudu besar cili boh
2 keping asam keping
Air secukupnya
1 batang/kuntum Bunga kantan
1 genggam Daun kesum
Garam
Gula
Daun salad
Timun
Hirisan bawang merah
Hirisan cili api
Telur rebus
Limau nipis
1) Blendkan isi ikan sardin, nenas, bawang merah bawang putih dan sedikit air sehingga hancur.
saya asingkan 2 ketul isi ikan sardin sebab nak bagi ada rasa ketul2 ikan nanti.
2) Tanpa minyak, Masukkan bahan-bahan yang telah diblend ke dalam periuk, letak air dalam blender dan masukkan ke dalam periuk. Rugi kalau terus cuci blender. Masukkan air agak2 ye sebanyak mana kita nak.
3) Masukkan asam keping dan cili boh. Masak sehingga agak-agak cili masak. Lama sikit pun tak apa.
4) Masukkan daun kesum, bunga kantan dan isi ikan sardin yang diasingkan tadi. Saya leraikan sikit-sikit je isi ikan tu.
5) Akhir sekali, perasakan dengan garam, gula dan kiub ayam. boleh rasa apa nak ditambah.
6) Rebus laksa atau celur dengan air panas seketika.
orang kata tips laksa sedap kena masak lebih lama, tapi kita masak sekejap je, perut dah lapar wak. tak rela kita. Sedap jugak alhamdulillah.