click.. click.. click..

Wednesday, 23 December 2020

RESEPI LAKSA SARDIN DALAM TIN

 Assalamualaikum. Ada hari kita jemu makan nasi ye ke tidak ? Ada hari jemu terus nak makan tapi kena jugak makan walau sedikit. Asbab covid-19 ni salah satunya makin rajin masak dan mencuba resepi baharu walaupun selalunya saya derhaka dengan resepi2 online ni. Sebab nak sesuaikan dengan tekak sendiri.

Tertengok di instagram @raffieyusoff dia masak laksa sardin tin ni. mudah betul.tak payah rebus2 ikan. Kita sebagai manusia yang kerja memang suka benda yang mudah ni. Ala2 super laksa rasa dia. Kita suka makan dekat kedai tu sampailah dia tiba2 tutup hilang dan ghaib. kedai sedap je mesti tutup. benci.

( laksa yang saya guna, sedap sebab dia halus2 ) 

Bahan-bahan yang diperlukan

Sardin tin, asingkan 1-2 ketul isi sardin dan blend yang lain. ( ambil bahagian isi sahaja, kuah tak nak )
5 biji bawang merah kecil ( blend )
2 biji bawang putih ( blend )
2-3 keping nenas ( blend )
2 sudu besar cili boh
2 keping asam keping
Air secukupnya
1 batang/kuntum Bunga kantan
1 genggam Daun kesum
Garam
Gula
Kiub ayam sebagai serbuk perasa

Laksa ( dicelur/rebus )
Daun salad
Timun
Hirisan bawang merah
Hirisan cili api
Telur rebus
Limau nipis
Hirisan nenas


1) Blendkan isi ikan sardin, nenas, bawang merah bawang putih dan sedikit air sehingga hancur.

saya asingkan 2 ketul isi ikan sardin sebab nak bagi ada rasa ketul2 ikan nanti.

2) Tanpa minyak, Masukkan bahan-bahan yang telah diblend ke dalam periuk, letak air dalam blender dan masukkan ke dalam periuk. Rugi kalau terus cuci blender. Masukkan air agak2 ye sebanyak mana kita nak.

3) Masukkan asam keping dan cili boh. Masak sehingga agak-agak cili masak. Lama sikit pun tak apa.

4) Masukkan daun kesum, bunga kantan dan isi ikan sardin yang diasingkan tadi. Saya leraikan sikit-sikit je isi ikan tu.

5) Akhir sekali, perasakan dengan garam, gula dan kiub ayam. boleh rasa apa nak ditambah.

6) Rebus laksa atau celur dengan air panas seketika.

orang kata tips laksa sedap kena masak lebih lama, tapi kita masak sekejap je, perut dah lapar wak. tak rela kita. Sedap jugak alhamdulillah.


RESEPI IKAN MASAK CUKA ( LAUK KAMPUNG KEGEMARAN SAYA )

 Assalamualikum, Pernah tak ada hari tu otak betul-betul kosong, taktahu nak masak apa. Selalunya diakhiri dengan makan luar dekat kedai je ataupun di tahun 2020 ni kita ber foodpanda terus. Saya lah tu selalu begitu, tapi kalau ada bahan2 yang boleh masak lauk ni, pasti masak terus sebab sedap makan lagi-lagi waktu macam selera ada tak ada je.


Bahan-bahan yang diperlukan:

2 keping isi Ikan tenggiri 
2 biji Bawang merah kecik ( racik halus )
2 biji Bawang merah kecik jangan potong bia seketul je
1 biji Bawang putih ( racik halus )
1 batang Serai ( racik halus )
1-2 biji Cili padi belah tengah
1 sudu kecil Biji sawi
1-2 biji Lada besar belah tengah
Tomato potong empat
2 sudu besar Cuka makanan
Air sedikit
Garam
Gula

1) Lumurkan garam dan serbuk kunyit dekat isi ikan tenggiri dan goreng.

2) Kurangkan minyak goreng ikan tadi, tinggal minyak cukup sekadar nak tumis bawang sahaja.

3) Tumis bawang merah seketul, bawang-bawang racik, serai, cili padi dan biji sawi sehingga wangi.

4) Masukkan cuka makanan dan air sedikit. Perasakan dengan garam dan gula.

5) Akhir sekali masukkan tomato, lada besar dan ikan yang telah digoreng awal-awal tadi. Biarkan seketika dan siap untuk dihidang.

Macam biasa, lauk kampung makan dengan nasi panas2 lah. Jarang tak tambah nasi kalau lauk simple macam ni. Selamat mencuba!!!



AGAR-AGAR MILO TERBAIK DI TEKAK SAYA

 Assalamualaikum, cuaca panas-panas, tak hujan. Tekak kering, asyik2 minum air. Sekali sekala dapat makan manis2 sedap juga ye?

Saya tak berapa kuat manis dalam makanan, jadi resepi agar-agar milo ni memang ikut selera saya sahaja. Maaf jika tak sedap di tekak anda.

Bahan-bahan yang diperlukan :

2 packet serbuk agar-agar
1 liter air + setengah cawan
3 biji gula batu ( tak ada pun tak apa )
1 sudu kecil garam
setengah cawan gula pasir
2 cawan milo
1/3 cawan susu pekat
1 liter air panas
1 tin susu cair

1) Ambik periuk yang sesuai, masukkan air, gula batu, gula pasir, garam dan serbuk agar-agar. Nyalakan api kecik/sederhana.
2) Dekat bekas lain, masukkan milo, air panas, susu pekat dan susu cair. Kacau sampai sebati.
3) Masukkan semua bahan ke dalam periuk.

Waktu ni boleh rasa, nak tambah apa lagi. gula ke garam nak bagi rasa lemak ke. Sementara cair, boleh di ubah suai ikut selera kita. Dah keras nanti redho je lah ye.

4) Tuang adunan ke dalam loyang dan biar seketika sampai agak2 suam sebelum kita masukkan loyang ke dalam peti sejuk.

Saya selalu letak loyang dekat dulang yang berisi air untuk bagi dia cepat sikit proses sejuk. Selalu tengok nenek buat di kampung begitu.

Selamat mencuba!!!

MASAK LEMAK CILI API IKAN MASIN TALANG DENGAN NENAS

Assalamualaikum. Menu ni selalunya kalau di kampung saya waktu kenduri kahwin di rumah nenek pasti ada, kawankan pulak dengan sambal belacan, ulam-ulaman dan pencuci mulut haruslah tembikai dan limau sunkist, air sirap kenduri janga dilupa!. Rindu ye nak makan makanan kenduri waktu covid-19 ni. 

Jumpa nenas cantik elok, jumpa pula orang jual ikan talang di instagram @waf_legacy , cantik ikan talang yang dia jual, bersih dan nampak elok. Apa lagi mengulai lah kita.

( besar ikan talang masin dia) harga bawah rm20 untuk dua ekor ni. Dia kira kilo rasanya. 


Bahan-bahan yang diperlukan :

4-5 biji Bawang merah kecik ( dikisar halus ) 
3 biji Bawang putih ( dikisar halus ) 
Cili api (dikisar halus ) ikut pedas mana nak
1 inch Kunyit hidup (dikisar halus ) 
1 batang Serai ( diketuk ) 
2 keping asam keping
1 kotak santan kotak
Garam secukupnya
Gula secukupnya
Ikan masin talang seekor kecik
Nenas yang telah dipotong

Bersihkan dan potong ikan masin talang ikut lah nak potong besar mana, kemudian rendam ikan masin terlebih dahulu. Dalam 30 minit.

1) Masukkan bahan yang telah dikisar dan serai ke dalam periuk berserta sedikit air. Saya suka biarkan seketika dalam 5 ke 10 minit sambil tambah air sikit2, nak bagi cilinya masak dahulu. 

2) Setelah mendidih, masukkan air sehingga ke paras yang dimahukan dan juga asam keping. Tunggu sehingga air mendidih kemudian masukkan ikan masin. Dan biarkan mendidih sekali lagi.

3) Masukkan santan, setelah santan mendidih baru masukkan garam dan gula dan juga nenas. 

4) Biarkan seketika. Boleh perasa kan mana yang perlu ditambah. 

Step kelima ni step paling ditunggu2, ambik pinggan ambik nasi panas, tuang lauk. Baca doa makan dulu kemudian alhamdulillah kenyang.

Dapat pulak telur dadar dengan jeruk petai. Ehh ada orang ke kiri kanan kita sorry lah tak perasan. Sibuk makan nasi



BUAT BAWANG GORENG SENDIRI

Siapa sejenis tak suka makan bawang goreng kat kedai? Okay lah, kamu boleh geng dengan suamiku. Dia tak suka, kalau dapat dia asingkan siap2. Macam kita yang tak suka asingkan taugeh, asingkan taugeh dari lauk kita.

Jadi kalau masak soto ke sup kena lah buat bawang goreng sendiri. nasib baik mudah tak leceh.
Nak buat kalau makan ramai kena guna bawang banyak sikit, sebab sekali ngap je dah banyak. Agak2 lah ye, sebab tak ada sukatan. Maaf

Bahan-bahan yang diperlukan:

bawang merah kecik. 
tepung gandum
tepung beras kurang sedikit dari tepung gandum
garam

1) Kupas dan basuh bawang bersih2. Keringkan bawang, kita tak nak keadaan bawang basah masa tengah potong.

2) Potong bawang halus2 dan masukkan tepung & garam. Serata kan tepung ke setiap lapisan bawang.

3) Sediakan kuali dengan minyak untuk mengoreng. Pastikan minyak dah dipanaskan.

4) Masukkan bawang, kacau2, goreng sekadar bertukar keperangan, jangan terlalu lama. nanti pahit hangus.
Bawang akan terus masak dengan suhu panas selepas ditoskan nanti.

5) Sediakan dulang yang telah dilapikkan tisu. Toskan bawang yang telah digoreng dengan ratakan ke atas dulang, supaya dapat sejuk dengan sempurna. 

6) Simpan dalam bekas kedap udara.


Lah dah siap, tak adventure langsung kan? Selamat mencuba!!

Wednesday, 7 October 2020

ASAM PEDAS IKAN PARI

Ini adalah untuk panduan diri sendiri pada masa akan datang. Jadi kuantiti bahan memang taktahu nak cakap macam mana. 

Bahan yang diperlukan
Ikan pari, potong besar2 sikit, kecik2 nanti hancur. 
Bawang merah tumbuk kasar
Bawang putih tumbuk kasar
Lada hitam tumbuk
Bawang merah kecik racik
Cili kering rebus @ cili boh blend halus
Sedikit belacan
Bunga kantan
Daun kesum
Air asam jawa
Tomato
Bendi

Cara-cara memasak
1) Masukkan minyak ke dalam kuali/periuk. 
2) Setelah minyak panas, tumiskan bawang merah, bawang putih, belacan dan lada hitam sehingga wangi dan bertukar warna keperangan. 
3) Masukkan cili blend dan masak sehingga pecah minyak. 
4) Masukkan air asam jawa sedikit dan tumis sampai pecah minyak sekali lagi. 
5) Masukkan pula bawang yang telah diracik. 
6) Masukkan ikan pari ke dalam periuk. Gaulkan. 
7) Masukkan air agak2 sukatan yang disukai. 
8) Biarkan sampai mengelegak dan ikan masak.
9) Perasakan dengan garam dan gula. 
10) Akhir sekali baru masukkan sayur2 supaya tak lembik dan hancur. 

Friday, 2 October 2020

MASAK LEMAK UDANG & KENTANG STYLE AYAH

Assalamualaikum. Sedar tak sedar tahu-tahu masuk bulan October 2020 je kan? Kes penyakit virus covid-19 pun mula menganas kembali.
Harapnya ramai kekal jaga kesihatan diri dan jaga kebersihan serta segala jenis SOP. 

Dah 2 3 hari terkenang lauk yang ayah selalu masak masa duduk dengan dia dulu waktu bujang. Hari ni tanya ayah mintak resepi, ayah siap offer nak masakkan. Tapi malas susahkan dia. Kita cuba sendiri lah. 

Balik kerja terus masak, perut kebulur seharian tak makan, sarapan roti canai je pagi tadi. Dah siap masak fuhhh, sedap yang amat ye! Tak dibuat2! AJ siap ingatkan jangan lupa tulis resepi sementara ingat. Ha baiklah. Mentang2 isteri dia jenis cepat lupa resepi. Amboi. Hahaha

Kita makan malam berlauk kan. Nasi panas, masak lemak udang, telur dadar lejen dan sayur kacang panjang tumis pecah telur. 

Ni dia highlight of the day kita

Makan malam kita untuk hari ini. 

Dah lah tengah syok2 masak baru tersedar santan takde. Haha nasib baik kedai runcit belakang rumah je boleh jalan kaki. Suamiku tolong pergi beli. Terima kasih lah AJ❤️.

Terimalah resepi masak lemak udang dari ayah. Saya copy and paste je resepi ayah bagi tadi. Cuma tukar sedikit cara penyampaian dalam 15% dan ubah sikit resepi dalam 1 step hehe. 

"Kalau nak masuk kan kacang panjang dan kentang. Asam keping tak payah guna."

Cara ayah masak ikut mcm ni.
1 biji bawang merah besar
5 biji bawang putih
Cili api (warna merah) dalam 8 biji ikut pedas yang mahu. 
1 inch kunyit hidup. 
Serai 1 atau 2 batang. Dititik
Ubi kentang 2 ke 3 biji buang kulit dan potong 4 panjang2.
Kacang panjang 4 batang potong ikut saiz sama. ( jika mahu ) 
Serbuk kunyit
Garam
Santan 1 kotak kecik ( saya pakai setengah kotak sahaja sebab udang tak banyak) 
1 cawan air

Blend bawang merah, bawang putih, cili api dan kunyit hidup demgan sedikit air sampai hancur.

1) Panas kan kuali dgn minyak masak sedikit
2) Tuang semua bahan yang telah di blender ke dalam kuali yang dah panas dan gaul sampai air nampak kurang.
3) Selepas tu masuk kan Santan ke dalam kuali dan kacau sampai pecah minyak dan tambah air sedikit (1 cawan minum) dan masuk kan serbuk kunyit, garam secukup rasa dan kacau sampai mendidih.
4) Akhir sekali masuk kan kentang dan udang ke dlm kuali. 
5) Kentang dah masak baru masuk kacang panjang yg telah potong dan biar sampai nampak semua dah masak tutup api dah boleh hidang untuk dimakan.

HAHAHAHAH licin kan? Macam tak payah cuci dah.

AJ duk ulang2 banyak kali sedap ni sedap. Lepas nie ketam pun masak cara begini lah. 

Tuesday, 7 April 2020

RESEPI SOS TOMATO UNTUK SPAGHETTI

Hi, Assalamualaikum.

Okay terus ke main story.
Nak masak spaghetti dengan sos tomato kimball. Sekali sos kimball nya berkulat🤣. Sekian mati akal seketika. 

Nasib baik ada yg menyuruh, buat lah sos sendiri, awak kan pandai adjust2 nie. 

Dengan bekalkan bismillah serta otak serabut. Teringat dalam peti ada tomato 3 biji, blend je lah. Hantam saja lah labu. Nie resepi asal boleh namanya.

Ada orang suruh upkan, dia suruh buat sendiri je lepas nie, tak nak makan sos kimball lagi sebab lg sedap homemade katanya. Baiklah. 

Bahan-bahan yang diperlukan 
3 biji tomato (blend halus pakai air rebusan pasta)
10 sudu besar sos tomato
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar serbuk cili
Setengah cawan air rebusan pasta
1 biji bawang besar (potong dadu) 
1 biji tomato (potong dadu) 
2 ulas bawang putih (potong dadu) 
Cendawan shitake (potong dadu) 
Daging ayam kisar
Setengah kiub pati ayam
Lada hitam
Garam
Gula

1) Rebus pasta dengan air, 1 sudu teh minyak dan 1 sudu teh garam. Rebus sampai lembut. Toskan pasta tapi simpan air rebusan. Sebab nanti nak guna

2) Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga wangi dan warna kekuningan, masukkan daging ayam kisar, cendawan dan tomato. Kacau sehingga semuanya masak. 

3) Masukkan tomato yang telah diblend, sos tomato, sos cili dan serbuk cili. Kalau kurang air tambahkan air, ikut kepekatan yang disukai. 

4) Perasakan dengan garam, gula, lada hitam, lada sulah dan kiub ayam.  Rasa jika perlu ditambah apa2 lagi seperti sos tomato atau sebagainya. 

Sedia dihidang


Monday, 30 March 2020

RESEPI SAMBAL TUMIS IKAN SELAYANG

Hi Assalamualaikum. Pasir Gudang lepas asar tadi mula mendung tanda nak hujan. Sedap kalau dapat makan sedap2 nie. Jap semua makanan sedap.

2 hari lepas ada beli ikan secara online. Dapat lah ikan selayang 4 ekor. Ikan caru 2 ekor. Cukup lah untuk 2 3 kali makan. 

So kita nie tak lah pandai sangat masak tapi tekak nie beriye macam pandai sangat masak. 

Ikan selayang ada, kobis ada. Jom lah buat lauk favourite dari zaman ke zaman untuk saya. 

Ikan selayang goreng sambal tumis

Lauk ini untuk 2 orang makan tengahari serta malam. 

Bahan-bahan yang diperlukan
3 ekor ikan selayang
3-4 biji bawang merah kecik *blend halus
1 ulas bawang putih *blend halus
5 tangkai cili kering *rebus dan blend halus
1 bini bawang merah besar *potong secara bulat
1 keping asam keping
1 batang serai *ketuk
1 sudu besar gula merah
1 sudu kecik garam
1 sudu kecik kicap manis
Air asam jawa

Cara-cara memasak
1) Salut ikan dengan kunyit dan garam. Kemudian goreng separa garing. Tos dan ketepikan. 

2) Kurangkan minyak di kuali, tumis cili kering dan bawang yang telah diblend. Masukkan serai dan juga asam keping.  Tumis sehingga pecah minyak. 

3) Setelah sambal pecah minyak, masukkan air asam jawa, gula, garam, kicap dan bawang besar. Kalau mahu sambal basah tambahkan air, kalau mahu kering, keringkan air sambal. 

4) Rasa sambal dan tambah apa yang perlu ditambah. Kalau bawang besar dan layu dan lembik. Masukkan ikan yang telah digoreng sebentar tadi dan gaulkan dengan perlahan. 

Sedia dihidang dan makan. 


RESEPI SUP IKAN MERAH

Hi Assalamualaikum. Sempena PKP hari ke tak ingat dah. Hahaha. Tengok peti ada 1 keping ikan merah. Jadi lah buat sup untuk AJ sebab dia duk mention 2 3 kali dah ikan merah tu buat lah sup. 

( saya terletak minyak untuk sup ikan tu hahaha. Sayur campur dengan cendawan dan ikan goreng sebagai peneman) 

Bahan-bahan yang diperlukan
Lauk nie untuk sorang makan je. 
1 keping isi ikan merah
1 biji buah pelaga
1 biji bunga lawang
1 batang kayu manis ( paling kecik)
1 batang bunga cengkih
1 ulas bawang putih *hiris kasar
1 inch halia *hiris kasar
1 batang cili api *potong tengah 
2 biji bawang merah kecik *hiris halus
Setengah lobak merah *potong ikut suka
2 biji tomato *belah empat
2 batang bendi
Air secukupnya
Garam
Kiub ayam
Daun bawang
Daun sup

Cara-cara memasak
1) Tumis bawang putih, bawang merah, cili api, halia, buah pelaga, bunga lawang, kayu manis dan bunga cengkih sehingga wangi dan warna kekuningan. Tumis dengan minyak. 

2) Masukkan air 1 cawan dahulu. Masukkan juga lobak merah, tomato dan bendi. Boleh guna apa sayur yang disukai. Tiada masalah.

3) Tunggu sampai air menggelegak baru masukkan ikan dan perasakan dengan garam, kiub ayam atau serbuk perasa. 

4) Ikan dan masak, hiaskan sup dengan daun bawang dan daun sup.

Sedia dihidang dan dimakan. Untuk yang suka sup clean resepi nie sesuai sangat lah. 
Untuk yang tiada selera makan ke. 

Selamat mencuba! 

Tuesday, 24 March 2020

RESEPI SUP AYAM VERSI NENDA

Hi, Assalamualaikum. Ada 1 hari tu teringin betul nak makan sup ayam tapi nak yang macam nenek kat kampung selalu masak. Mujur lah Allah masih panjangkan umur nenek, dapat lah telefon tanya khabar hari2 dan mintak rezeki dikala teringin.

Semoga Allah panjangkan umur dan kurniakan kesihatan yang sihat buat nenek ku di kampung. Amin ya Rabbal'alamin! 

Menu ini untuk 2 orang makan tengahari serta makan malam. 

Bahan-bahan

1/2 ekor ayam
1 biji kentang potong kiub dadu
1/2 biji lobak merah potong ikut suka
5-6 biji bawang merah kecik *blend/tumbuk
2 ulas bawang putih *blend/tumbuk
1/2 inch halia *blend/tumbuk
1-2 tangkai cili api *blend kasar/tumbuk
1 tangkai kayu manis
2 biji buah pelaga
1 biji bunga cengkih
1-2 sudu besar rempah sup
1 biji bunga lawang
1 1/2 atau 2 cawan air
1/2 kiub ayam
Garam 

Cara-cara masak

1) Panaskan periuk berisi minyak masak. Dan tumis bahan blend dengan kayu manis, buah pelaga, bunga lawang, bunga cengkih. Tumis sampai naik bau wangi dan warna seakan kuning. 

2) Masukkan ayam dan gaul sekata. Tumis sampai air ayam kering sedikit. 

3) Masukkan rempah sup dan sedikit air. Kacau rata. Biarkan mendidih dan masukkan kentang dan lobak merah. 

4) Masukkan lagi air sehingga paras dikehendaki. Perasakan dengan garam dan kiub ayam. 

5) Periksa kentang dan masak atau belum. Hiaskan dengan daun sup dan juga daun bawang.

Sedia untuk dihidang. Sedap dimakan dengan nasi. Dan kuah kicap atau sambal belacan! Yummyyyy

RESEPI MEE HOON SOTO

Hi, Assalamualaikum. Hari ni perintah kawalan pergerakan ke tujuh (7). Macam mana semua, masih okay ke duduk kat rumah? Jangan timbang berat ye. Seram!

Bosan dah hari2 makan nasi. Kita tukar ke mee hoon pulak. Menu hari ni ikutkan mee sup tapi tersilap buat, terhasil soto. Padahal tak ingat mee hoon sup tu macam mana rupa dia. 

Masak soto nie renyah ye, dengan 1 je dapur yang boleh guna. Tk ambik kira pulak berapa lama nak masak. 2jam ada ke? Hahaha entah lah. 

Masakan nie untuk 2 orang makan tengahari dan juga malam. 

Bahan-bahan kuah soto

Beberapa bahagian ayam potong sederhana kecik
7-8 biji bawang merah kecik *blend/tumbuk
3 ulas bawang putih *blend/tumbuk
1/2 inch halia *blend/tumbuk
1-2 tangkai cili api *blend kasar/tumbuk
1 packet sup bunjut
1 tangkai kayu manis
3 biji buah pelaga
2 biji bunga cengkih
3-4 sudu besar rempah sup
1 1/2 biji bunga lawang
1 1/2 atau 2 cawan air
1/2 kiub ayam
Garam 

Cara-cara masak kuah soto

1) Panaskan periuk berisi minyak masak. Dan tumis bahan blend dengan kayu manis, buah pelaga, bunga lawang, bunga cengkih dan sup bunjut. Tumis sampai naik bau wangi dan warna seakan kuning. 

2) Masukkan ayam dan gaul sekata. Tumis sampai air ayam kering sedikit. 

3) Masukkan rempah sup dan sedikit air. Kacau rata. Biarkan mendidih. 

4) Masukkan lagi air sehingga paras dikehendaki. Perasakan dengan garam dan kiub ayam. 

5) Keluarkan 1 atau 2 keping ayam dan carik guna garfu untuk buat hiasan di atas hidangan nanti. 

Bahan-bahan kuah kicap
4-5 tangkai cili api
1 ulas bawang putih
10-20 sudu besar kicap manis
3-4 sudu besar kicap pekat abc
1 sudu teh minyak bijan
1 sudu teh gula
1/2 sudu teh garam

Blend hancur semua bahan. Agak2 kurang kicap tambah ikut suka. 

Bahan-bahan bergedil
2 biji kentang
5-6 biji bawang merah kecik *blend kasar/tumbuk
2 ulas bawang putih *blend kasar/tumbuk
5 sudu daging ayam kisar
1 sudu teh garam
1/2 kiub ayam
Sedikit lada sulah
Sedikit lada hitam
Sedikit daun bawang 
Sedikit daun sup

Cara-cara buat bergedil

1) Potong kentang secara memanjang dan tebal. 1 kentang dapat 4 potong. 

2) Goreng kentang dengan api sederhana besar. Goreng sampai agak perang warna. Terbalik kan dan goreng bahagian kentang sebelah lagi. Tak perlu goreng sampai lembik dan betul2 masak. Takut kentang serap minyak. Toskan kentang dan ketepikan

3) Tumis bahan blend tanpa minyak sehingga wangi dan warna kekuningan. Masukkan ke dalam blender.

4) Letak kan 1 sudu teh minyak dan masak ayam kisar sehingga masak. Masukkan ke dalam blender yang berisi bawang tadi.

5) Blend kentang yang telah digoreng, blend sehingga agak lumat. 

6) Blendkan sekali bawang dan ayam tadi. 

7) Keluarkan dari blender masukkan ke dalam bekas, perasakan sengan garam dan kiub ayam serta lada sulah/lada hitam sedikit. Masukkan daun sup dan daun bawang. 

8) Bulat2 kan ikut suka nak besar mana, sy buat besar bola pingpong sahaja. Senang sekali ngap dalam mulut. Sy dapat 20 biji dengan size tu. 

9) Pecahkan telur, pukul telur sekata dan celup kentang yang dah dibulatkan tadi.

10) Masukkan kentang 1 per satu dan goreng dengan minyak separa banyak. Goreng sehingga kekuningan.

11) Angkat dan toskan minyak.

Tak lengkap soto kalau tak ada kacang goreng dan bihun goreng. Bihun goreng tu bukan yang kita makan petang2 tu tp macam papadom tu. 

1) Panaskan kuali dengan minyak agak banyak. Pastikan kuali betul2 panas. 

2) Masukkan bihun kering sedikit dan saksikan dia kembang. Terbalik kan sekejap dan toskan. 2 saat je nak buat dia.

Maka hidanglah soto kita dengan
1) mee hoon yang dah dicelur dalam air panas, toskan. 
2) ayam yang telah racik
3) kacang goreng
4) bihun goreng kopok
5) bergedil
6) daun bawang dan daun sup
7) bawang goreng
8) kuah soto
9) kuah kicap. 


Sekian mengah taip, dan seksa nak masak nya. Renyah ye. Hahahaha tp sedap. Sedap is pain people! 

Wednesday, 4 March 2020

RESEPI LONTONG SAYUR LODEH MUDAH DAN CEPAT

Hi, Assalamualaikum. AJ ngomel kata rindu nak makan dekat rumah, homecook katanya. Semua gara2 dua tiga hari ini terpaksa makan luar, badan tak berapa sihat dan tengah spring clean rumah.

Masuk hari ketiga AJ tak boleh tahan dah, nak makan kat rumah jugak dia cakap. Dia siap offer diri nak masak lagi, punyalah tak nak makan luar lagi. ahahah

Pergi beli bahan2 konon AJ nak masak. tapi end up tengok bahan hmmmm macam best je buat lontong, dari minggu lepas terasa nak makan tapi tak ada masa nak buat. Maaf lah biy, saya pakai dulu bahan masakkan awak nie, esok je lah awak masak ea? Hari ini saya masak. Bawak bekal ke office ye macam biasa. Harapnya tak homecook sick lagi.

Waktu masak malam, ingatkan nak masak awal pagi, takut tak sempat ( sebenarnya masih belum rajin nak bangun 3 4 pagi lagi, #bukansurirumah #isteribekerja ). Nanti mengomel lagi AJ kata nak makan masakan dari rumah. hahahah comel.

ini bukan resepi dari mana2 atau sesiapa, nie resepi tangkap muat je, main campak2 semua bahan, rasa kurang tambah lagi. simple as that. Cuma bagi tukang rasa decide apa kurang je. Senang kerja. Nak masak pun senang sangat.

Bahan-bahan yang diperlukan : ( 2 orang makan, lunch dan makan malam )

7 biji bawang merah kecik * halus
3 biji bawang putih * kisar halus
4 biji cili api * kisar halus
1 inch kunyit hidup * kisar halus
segenggam ikan bilis * kisar halus
1 batang serai * ketuk
1 sudu teh gula merah/ gula
2 cawan air
setengah kotak santan
setengah kiub pati ayam
1 paket su'un dan fucuk * rendam dan potong 2inch pendek
1 sudu besar garam
1 sudu teh serbuk kunyit
15 tangkai kacang buncis
2 keping tempe * potong dadu besar 1 inch
setengah biji lobak merah * potong memanjang
setengah biji kubis size kecik
asam keping
telur rebus
nasi impit

Cara-cara masak :

1) Goreng tempe dengan minyak dan TANPA letak garam atau kunyit. Goreng tempe kosong sahaja sehingga nampak garing2 sedikit. Angkat, toskan minyak dan ketepikan.

2) Kisar semua bahan yang bertanda * kisar dengan 1 cawan air. Kisar sehingga halus.

3) Tanpa minyak, masukkan bahan kisar ke dalam periuk, dan biarkan bahan itu kering dan masak dengan hanya menggunakan air. Masukkan juga serai.

4) Agak2 kering, tambah air dan keringkan semula, buat dalam 2-3 kali proses ini, untuk pastikan bahan kisar betul2 masak.

5) Masukkan air dan asam keping. Biarkan sebentar sehingga mendidih.

6) Setelah mendidih, masukkan sayur, su'un, fucuk dan juga udang. Biarkan sehingga mendidih sekali lagi.

7) Masukkan ssantan sedikit demi sedikit sehingga kepekatan yang disukai. Biarkan seketika sehingga mendidih, Pastikan kacau selalu supaya santan cantik tak berketul.

8) Setelah kuah mendidih, masukkan serbuk kunyit, garam dan juga kiub ayam.

9) Cuba rasa dan tambah apa yang perlu ditambah, kalau mahu kuah lebih banyak, tambah air serta santan dan bahan2 perasa.

10) Boleh rebus nasi impit dan juga telur rebus pula.

Setakat pagi ini lauk masih elok dan tak basi. seram juga kan kalau basi sebab bersantan. Kita tengok untuk makan malam nanti dia masih elok ke tidak. Moga2 elok hendaknya sebab AJ dah habiskan bekal untuk lunch dengan menjadikan dia sebagai sarapan. Rasa macam dah bekalkan banyak tadi. memang bajet untuk sarapan dan lunch. Sekali sarapan je licin sudah. AHHHSHELAMAT lah dia didalam perut AJ.

Friday, 28 February 2020

SAMBAL TUMIS IKAN BILIS GAYA IBU

Hi, Assalamualaikum. harinie nak masak apa pula? Soalan paling tiada penyudahnya, semalam masak sambal telur kan? Harinie kita buat sambal ikan bilis pula. Kenapa lauk sambal lagi? Sebab itu je bahan yang ada di rumah, malas nak ke pasar atau kedai. hujung minggu baru pergi pasar dan supermarket beli bahan masak stock seminggu. Eh esok lah tu, takpun ahad.

Kenapa lahhhhhh kena kerja 5 hari setengah seminggu. Kenapa bukan 4 hari kerja 3 hari cuti? Penat tak cukup rehat. Mengeluh? Mana ada, penat sikit je, kerja kat office tak pernah siap, dirumah pun sama, alahai!. Tapi balik tengok muka AJ okay dah. Mengedik je lebih nie.

Berbalik pada menu kita, Ikutkan konon nya nak buat pulut kuning, konon lah. pastu tengok jam pukul 12 tengah malam dah. Malas lah. Dan konon nya jugak nak sedikan bahan2 masak je, esok baru masak lauk. Tak jadi, AJ kata terus masak je malam tu, esok senang tak payah bergaduh dengan dapur pepagi hari. 12.30 malam settle masak. 1 rumah bau sambal, tidur ada pewangi semula jadi. HAHAHAHHA

Bahan-bahan yang diperlukan:

7 biji bawah merah ( kecik ) *blend
3 ulas bawang putih *blend

1/2 inch halia *blend
Setengah genggam ikan bilis yang direndam kalau anda allergic belacan *blend
1 1/2 senduk atau 15 tangkai cili kering yang telah direbus *blend
2 cawan ikan bilis yang telah dikopek, bersihkan dan basuh
1 cawan air asam jawa
2 biji bawang besar ( dipotong bulat )

1 batang serai ( diketuk )
1 sudu kecil kicap manis
1 sudu besar gula merah
Sedikit garam

Asam keping

Cara-cara memasak:

Resepi nie ikan bilis akan digoreng terlebih dahulu sehingga agak garing. Ibu kurang suka ikan bilis mentah tak goreng.

1) Basuh ikan bilis dan tapis buang air. Panaskan kuali dengan minyak secukupnya untuk goreng ikan bilis sehingga garing. Angkat dan tos kan ikan bilis yang telah masak. Ketepi kan.

2) Kurangkan minyak didalam kuali, tinggalkan minyak untuk menumis.

3) Tumis bahan2 yang telah diblend tadi. Kacau sehingga sambal pecah minyak. Minyak jangan terlalu banyak, rasa tak cukup minyak baru tambah sedikit.

4) Masukkan serai, asam keping dan air asam jawa. masak sehingga pecah minyak untuk kali kedua. Tambahkan air lagi jika perlu.


5) Perasakan dengan gula, garam dan kicap manis.

6) Masukkan bawang besar yang telah diracik.

7) Akhir sekali masukkan ikan bilis yang telah kita goreng di awal nya.


8 ) Jika nak sambal cair masukkan air, jika nak kering, Masakkan sehingga kering sedikit.

Saya suka sambal basah2 cair sikit. memang sedap, cicah lempeng, cekodok,  roti, pulut atau makan dengan nasi panas

p/s: APA YANG TAK BEST KALAU MASAK SAMBAL? DAPUR BERKECAH, MACAM BARU LEPAS BERTEMPUR DENGAN SAMBAL, DINDING, LANTAI, DAPUR. YA ALLAH 1 KERJA NAK MENGEMAS, NASIB BAIK SEDAP!!!! HUH!

SELAMAT MENCUBA DAN SELAMAT MENGEMAS DAPUR ANDA. ADIOSSSS

RESEPI SAMBAL TELUR TANPA SANTAN

Hi, Assalamualaikum. Resepi nie resepi nak jimat santan namanya, sebab malas membazir santan, nak pakai sikit je pun.

Kalau nak resepi sambal bersantan, sili click di SINI.

Sebenarnya takde banyak beza pun dari bahan dan cara masak. Cuma ada penambahan sikit mengikut anak tekak. zaasssss



Bahan-bahan yang diperlukan:

7 biji bawah merah ( kecik ) *blend
3 ulas bawang putih *blend

1/2 inch halia *blend
Sedikit belacan atau sedikit ikan bilis yang direndam kalau anda allergic belacan *blend
1 1/2 senduk cili kering yang telah direbus / 15 tangkai cili kering *blend
Telur rebus / goreng
1 cawan air asam jawa
2 biji bawang besar ( dipotong bulat )

1 batang serai ( diketuk )
1 sudu kecil kicap manis
1 sudu besar gula merah
Sedikit garam

Asam keping

Cara-cara memasak:

boleh guna telur rebus goreng atau telur mata kerbau. terpulang ikut selera masing2. Saya buat rebus dan goreng sebab AJ tak suka telur rebus. Saya suka! So tak perlu gaduh baling kuali, buat sahaja dua jenis telur.
1) Rebus telur sehingga masak. Kupas kulit telur dan goreng telur rebus didalam kuali sehingga kekuningan. Tos dan ketepikan.

2) Kurangkan minyak didalam kuali, tinggalkan sedikit minyak untuk menumis.

3) Tumis bahan2 yang telah diblend tadi. Kacau sehingga sambal pecah minyak. Minyak jangan terlalu kedekut dan pemurah sangat. Agak2 cukup untuk menumis sahaja takut nanti sambil makan sambil minum minyak pula.

4) Masukkan serai, asam keping dan air asam jawa. masak sehingga pecah minyak untuk kali kedua. Tambahkan air lagi jika perlu.


5) Perasakan dengan gula, garam dan kicap manis.

6) Masukkan bawang besar yang telah diracik.

7) Akhir sekali masukkan telur rebus yang telah kita goreng di awal nya.


8 ) Jika nak sambal cair masukkan air, jika nak kering, Masakkan sehingga kering sedikit.



SELAMAT MENCUBA!

Thursday, 20 February 2020

RESEPI KARI IKAN CARA IBU DI KAMPUNG

Hi, Assalamualaikum.

So, nie resepi kari yang ibu selalu masak . Haritu teringat teringin dan terasa nak makan. Call ibu mintak resepi, biasalah dah lama tak balik kampung. Lupa dah cara masak. Sebab tu jugak wujud diari masak2 nie. Supaya andai kata sesiapa dah pulang ke negeri abadi, aku masih simpan secoret kenangan tapi rasa air tangan tak akan pernah sama. Resepi sama, cuma kasih sayang, air tangan dan rasa sedikit sebanyak akan terasa bezanya. 

Haritu ke pasar, AJ ternampak ikan merah, katanya sedap nie kalau buat kari, tolong buatkan nanti. Untuk manusia macam aku yang jarang makan ikan, dan susah makan ikan. haishhhhhhh baiklah macam mana nak masak ikan nie. hahah

Masakan nie untuk dua orang dan untu dua kali makan. Tengahari dan malam.

Bahan-bahan yang diperlukan :

1 sudu teh biji sawi
1 biji bunga lawang
3 biji buah pelaga
5-6 tangkai daun kari
Setengah kotak santan
Air secukupnya
Air asam jawa
Ikan ( apa2 jenis ikan )
1 packet kecil serbuk kari ikan ( cari yang ada tulis pedas pada packetnya ) * tambah sedikit air untuk dijadikan pes 
2 biji bawang merah kecik ( hiris )
2 biji bawang putih ( kisar halus )
5-6 biji bawang merah kecik ( kisar halus )
2 biji bawang merah kecik ( dibelah tengah )
2 biji tomato
Bendi
Garam

Cara-cara memasak :

1 ) Panaskan minyak dan masukkan biji sawi terlebih dahulu. Setelah biji sawi meletup2, Masukkan bunga lawang dan buah pelaga.

2 ) Masukkan pula bawang yang telah dikisar halus, masak sehingga naik bau wangi dan berwarna hampir kuning. 

3 ) Masukkan bawang yang telah di hiris dan daun kari. Masak sehingga bau wangi kari naik.

4 ) Masukkan pes kari ikan dan kacau sehingga pecah minyak, masukkan air sedikit dan biakan dia pecah minyak selama 3 kali. Maka ulang2 masukkan air bila dah kering ye. Masak sehingga agak garing tapi bukan hangus.

5 ) Agak2 kari dah pecah minyak, masukkan air dalam setengah cawan sahaja dahulu, masukkan juga air asam jawa.

6 ) Air dah mengelegak, masukkan santan. sesuaikan ikut kesesuaian. nak kuah pekat atau cair, banyak atau sikit. Perasakan dengan garam.

7 ) Masukkan ikan dan bawang yang dibelah tengah, tomato dan bendi.

8 ) Ikan tak perlukan masa yang lama untuk masak. Agak2 dah masak boleh tutup api dan sedia dihidang.



JANGAN LUPA GORENG PAPADOM. LEBIH ENAK KALAU MAKAN DENGAN KARI

Friday, 7 February 2020

RESEPI KARI IKAN SARDIN DALAM TIN

Hi. Assalamualaikum. Ada separuh orang tak pernah makan kari ikan sardin nie, jangan kata makan, dengar pun tak pernah. Tapi percayalah sesungguhnya ianya sedap tanpa perlu bertanding. makan pulak dengan timun jepun dan telur dadar gebu and nasi panas. fuhhhhhhhh terangkat!

AJ salah sorang manusia yang memandang rendah pada menu ini, tapi akhirnya dia tewas terdampar melekat pada dinding sebab kekenyangan 3 kali tambah nasi. ahahah licin pinggan dia kerjakan. Syukur air tangan isteri sedap ye bang? Okay geli panggil abang. ewwww

Bahan-bahan :

1 tin sardin
4 ulas bawang merah kecik ( di hiris halus )
2 ulas bawang putih ( di hiris halus )
4 tangkai cili padi ( di belah tengah jangan sampai putus )
1 tangkai daun kari
2 sudu besar serbuk kari daging + sedikit air
2 sudu besar sos sardin
1/2 inci halia
2 cawan air
Santan kotak
Air asam jawa
Garam


Cara-caranya :

1 ) Asingkan sardin dan sosnya. Panaskan minyak, dan goreng sardin sehingga agak2 bergoreng.
     Hati2 sewaktu mengoreng sardin, minyak meletup2, tutup api sebelum terbalikkan sardin.

2 ) Ambik sikit minyak goreng sardin tadi. Panaskan kuali dan masukkan bawang, halia, daun kari dan cili padi. Goreng sehingga naik bau wangi dan warna kekuningan.

3 ) Masukkan serbuk kari yang telah dicampur dengan sedikit air. Goreng sehingga pecah minyak, rempah jadi garing serta wangi. Jangan sampai hangus ye. Boleh masukkan sedikit air kalau nak bagi rempah masak.

4 ) Masukkan air asam jawa dan air. Biarkan seketika sehingga mendidih, kemudian masukkan santan sedikit demi sedikit sehingga tahap kepekatan yang disukai.

5 ) Masukkan juga sos sardin dan perasakan dengan garam.

6 ) Akhir sekali masukkan sardin yang telah digoreng awal2 tadi.

7 ) Ambik nasi panas, potong timun jepun, ambik telur dadar gebu. Baca doa makan. Selamat memakan sehingga jilat jari!!!


Kenapa kena goreng sardin dulu? Sebab taknak sardin hancur. bila dah goreng sardin tu tak lembik dan senang hancur.



SELAMAT MENCUBA !

RESEPI SINGGANG IKAN TENGGIRI

Hi. Assalamualaikum. Tekak kita nie kadang-kadang dah jemu makan benda2 berminyak, bersantan.
Maka kita detox balik lah tekak, neutral kan balik tekak. Yang nak diet menu nie sesuai sangat, tanpa minyak and ada protein ( ikan ) serta sayur.

Singgang nie versi color kuning ye sebab ada kunyit.

Selalu digelar masakan paling cincai serta express. Yelah rebus aje semuanya.

Bahan-bahan yang diperlukan :

Ikan tenggiri ( di cuci dan basuh dengan air asam jawa )
3 biji bawang putih ( di hiris )
1 biji bawang kecik @ 1/2 biji bawang besar ( di hiris )
1 1/2 inci lengkuas ( di hiris )
1 inci kunyit hidup ( di hiris )
setengah inci halia ( di hiris )
1 batang serai ( di titik )
2 biji cili padi ( di hiris )
1 biji lada hijau ( di belah dua )
2 keping asam keping
Bendi
Tomato
Air secukupnya
Sedikit serbuk kunyit
Garam secukupnya
Lada hitam

1 inci = umpama sebesar ibu jari.
2 inci = umpama sepanjang ibu jari


Cara-caranya :

1 ) Masukkan kesemua bahan di atas kecuali ikan, bendi dan tomato.

2 ) Bila air dah mendidih, Masukkan ikan dan juga bendi.

3 ) Perasakan dengan garam ikut tekak masing2. Akhir sekali masukkan tomato.

Dan siap!!!

Jangan lupa goreng telur dadar, baru menyengat waktu makan nanti. Nasi panas2. Fuhhh


RESEPI COKLAT CAKE 3 MINIT ( MICROWAVE )

Hi, Assalamualaikum. Okay teruja ke tidak baca tajuk tu? Sebab saya teruja gila! Kenapa? Sebab dah boleh buat kek sikit2 untuk sekali makan je, tak payah buat kek seloyang and simpan kek dalam peti sejuk lagi. syok!

Kat rumah belum ada oven, yang ada microwave oven. Ehsan orang bagi hadiah kahwin, terima kasih! Tekak craving gila nak makan kek panas2, mengarut kan? Selalu orang nak makan kek sejuk2. hahaha.

Google punya goole, facebook search semua, ada ternampak orang share resepi kek 3min nie. Kita tepek sini lah resepi sebab senang sikit cari untuk diri sendiri. And dah diolah sikit ikut kesusaian tekak kita ini.

Bahan-bahan yang diperlukan :

4 sudu besar tepung gandum / tepung naik sendiri ( di ayak )
4 sudu besar gula castor / gula pasir
2 sudu besar milo
2 sudu besar serbuk koko
1 sudu kecil baking powder kalau pakai tepung gandum ( di ayak )
5 sudu besar susu cair / susu segar
4 sudu besar minyak masak / minyak jagung
1 sudu kecil esen vanilla
1 biji telur
optional : chocolate chip / coklat bar potong dadu ( nak letak boleh, taknak letak pun boleh )


Cara-cara membuatnya :

1 ) Sebenarnya, tepung tu nak ayak boleh, taknak ayak pun boleh. apa dehal. cuma kalau ayak dia jadi halus lah tekstur kek tu. Itu aje. Setakat makan sendiri tak payah gaduh2 lah.

2 ) Cari bekas yang boleh masuk microwave, bekas petak ke bulat ke. Ikut suka lah.

3 ) Campur kesemua bahan dalam bekas dan kacau sebati. Ye campur je semua tu. Jangan ragu2.

4 ) Masukkan adunan ke dalam microwave dan set SUHU MEDIUM, MASA 3MIN/4MIN.

Belum sempat korang nak kemas barang korang buat kek tadi. kek dalam microwave masak dah. Betul tak tipu.

Agak2 dan bunyi TING microwave tu, cuba lah teknik check kek pula.

CUCUK LIDI/ PENCUNGKIL GIGI tengok ada kek melekat pada lidi atau pencungkil gigi tu ke tidak.
Kalau ada kek yang melekat pada lidi, belum masak tandanya. masukkan balik ke dalam microwave dan setkan timer 3min lagi ke atau sehingga masak.

Saya suka letak coklat bar atau coklat chip dalam adunan sebab nanti masa makan dapat rasa ketul2 coklat tu cair. Ya Allah sedap tak terkata. Malam nie nak buat lagi lah.

DIET APA?




RESEPI UDANG BUTTER NESTUM POWER

Hi. Assalamualaikum. Dekat Pasir Gudang ada satu kedai makan PASIR PUTIH SEAFOOD, dekat kedai ini lah kali pertama saya makan udang butter nestum. Susah nak explain sedapnya macam mana. Manis ada, crunchy nestum ada, manis udang, pedas2 manja cili padi i love you gituu. memang hmm sedap lah!

Semalam ke pasar, nampak udang, AJ mention ' buatlah udang nestum'. Maka beli lah udang tu ye yop, bahan2 pun ada kat rumah. Settle beli, balik rumah, berkungfu berdua dekat dapur nak masak makan malam. Nak buat dia pun agak mudah, AJ kata ni
lauk udang paling cepat masak. Yekew??

Bahan-bahan yang diperlukan.

Udang
Tepung jagung
Garam

1 ) Gaulkan udang dan tepung jagung sehingga sekata.

2 ) Panaskan minyak dan goreng secara 'deep fry'. Masa goreng nie bau wangi semerbak okay.

3 ) Setelah udang nampak kekuningan dan garing, toskan udang dan ketepikan.

Mari sediakan mandian udang goreng tadi pulak.

Daun kari 1-2 tangkai
Butter 3-4 sudu
Nestum ( disangai terlebih dahulu )
Bawang putih 3 biji ( di dadu )
Cili api 1-2 biji ( di hiris )
Gula 1 1/2 sudu besar

1 ) Sangai nestum sehingga nampak macam color kuning2, tutup api, takut hangit pulak nanti.

2 ) Cairkan butter dan masukkan kesemua bahan dan gaul rata.

3 ) Masukkan nestum dan gaul rata sekali lagi, tutup api.

4 ) Masukkan udang, gaul sehingga sekata dan sedia untuk dihidang.


Okay nampaknya AJ betul, Resepi nie paling mudah dan cepat. maka boleh cakap resepi udang goreng malas ke?? Tapi dia sedap gila makan dengan nasi panas2!! What is this!